PENGHORMATAN ATAS PENGORBANAN: KERJASAMA STRATEGIK MEDIA PRIMA BERHAD &  JABATAN HAL EHWAL VETERAN ATM

Petaling Jaya, 19 Ogos 2020 – Penghormatan atas pengorbanan… Di usia muda, segala jerih perih dicurahkan oleh para perajurit demi mempertahankan tanah air tercinta. Ada yang terkorban, ada yang hilang keupayaan dan ada juga ahli keluarga mereka yang hilang tempat bergantung. Pengorbanan mereka wajar diberi penghormatan tinggi dan mereka tidak harus dilupai oleh masyarakat ketika dimamah usia selepas bersara.

Media Prima Berhad telah berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) untuk melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2020 hari ini menerusi siaran langsung di program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, Bandar Utama. Kempen ini dilancarkan oleh YABhg. Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan dan YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan.

Sesi pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 tersebut dimeriahkan dengan persembahan menarik daripada Angkatan Tentera Malaysia iaitu ‘Tempur Tanpa Senjata’ dari Tentera Darat Malaysia (TDM), kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ‘drumline’ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta diakhiri dengan persembahan lagu, ‘Perwira’ oleh Ning Baizura. Lebih istimewa, buat pertama kali dalam sejarah kerana Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dapat hadir bersama di Sri Pentas bersempena dengan pelancaran kempen tersebut.

Kolaborasi antara Media Prima Berhad dan JHEV ATM dalam Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan meningkatkan kesedaran setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia untuk memberi penghormatan dan penghargaan atas pengorbanan para perajurit kita selama ini dalam menjamin keselamatan serta kedaulatan tanah air kita. Sebagai rakan kolaborasi, Media Prima Berhad turut menyediakan pelbagai pengisian program dan aktiviti menarik dalam menyemarakkan lagi kempen tersebut.

Menurut YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, “Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan para perwira negara. Sehubungan itu semua lapisan masyarakat, pihak swasta dan korporat diseru untuk sama-sama menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan sebagai tanda penghormatan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Pahlawan Negara dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara. Ia juga bagi menyemai dan meningkatkan semangat patriotisme dan sifat kecintaan terhadap negara dalam diri setiap warganegara Malaysia khususnya generasi muda.’’

Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad berkata, “Kolaborasi Media Prima Berhad dengan JHEV ATM dapat menyemarakkan lagi promosi Kempen Tabung Pahlawan 2020 dengan lebih meluas menerusi kepelbagaian rangkaian platform media yang merangkumi TV, radio, digital, cetak dan pengiklanan luar. Selain menghebahkan maklumat untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kempen ini, kami juga mahu menerap semangat patriotik dan nilai cinta kepada tanah air melalui naratif penceritaan dan kupasan yang menyentuh jiwa para penonton menerusi program-program yang disediakan.”

Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan menggalakkan orang ramai memberi sumbangan secara ikhlas untuk membantu Veteran ATM yang telah banyak berkorban kepada negara. Tahun ini, Kempen Tabung Pahlawan 2020 mensasarkan jumlah kutipan melebihi RM 10 juta. Anda boleh menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan (Affin Bank 1059 5000 3201). Hasil kutipan tabung akan digunakan untuk membantu Veteran ATM yang kurang upaya, balu veteran OKU, kos perubatan, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan juga bantuan kebajikan yang lain. Setiap sumbangan layak menikmati pengurangan cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, 20 selebriti popular tanah air akan turut menyumbangkan barangan peribadi untuk dijual dan hasil jualan tersebut akan disalurkan ke Tabung Pahlawan. Aktiviti jualan tersebut akan dihebahkan menerusi laman media sosial rasmi TV3 dan program Wanita Hari Ini dan Melodi, bermula 24 Ogos – 4 September 2020.

Tidak ketinggalan, Media Prima Berhad juga telah menghasilkan lagu dan video muzik bertajuk ‘Perwira’, segmen khas dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini, episod khas menerusi program Majalah 3 dan Nona, telefilem khas iaitu Kelab Gentlemen dan kapsul Apa Kata Orang Muda untuk menyemarakkan lagi kempen ini.

Author: Ahmad Nazri Ngah @ Blitzenius

Penulis ialah pengkritik muzik di majalaH ROTTW, pengulas filem dan admin grup filem Facebook, Movie Addict.