Astro Lancar Program Cetus Fenomena ‘The Masked Singer Malaysia’

Datuk AC Mizal galas tugas hos, barisan selebriti terkenal tanah air jayakan pertandingan nyanyian misteri terbaharu di Astro Warna

Program ‘The Masked Singer Malaysia’ ialah sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni. Kesemua 12 peserta misteri ini akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri yang juga figura dihormati dalam industri.

‘The Masked Singer Malaysia’ menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.

Untuk musim pertama ini, seramai sembilan orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap dan mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak. Manakala, menggalas tugas hos adalah pengacara tersohor, versatil dan disegani ramai, Datuk AC Mizal.

Masih mengekalkan format asal program realiti ‘The King of Mask Singer’, kesemua peserta The Masked Singer Malaysia akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki bagi menyembunyikan identiti masing-masing. Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim pertama.

Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda? Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam! Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Author: Ahmad Nazri Ngah @ Blitzenius

Penulis ialah pengkritik muzik di majalaH ROTTW, pengulas filem dan admin grup filem Facebook, Movie Addict.