Kenyataan Rasmi KOMFIT Berhubung Perlantikan Ahmad Idham Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS

KOMFIT menolak dan mempersoalkan perlantikan yang dibuat Lembaga Pengarah Finas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui menterinya YB Gobind Singh Deo yang telah secara rasmi melantik encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkuatkuasa pada 11 Mac 2019 bagi tempoh 2 tahun.

Protes dan penolakan perlantikan ini adalah dibuat atas prinsip latarbelakang encik Ahmad Idham sendiri yang mana telah menghasilkan banyak sekali produk-produk filem yang rosak, jahanam dan memalukan industri filem Malaysia selama ini.

KOMFIT percaya adalah sesuatu yang amat penting untuk YB Menteri Komunikasi dan Multimedia memberikan keutamaan dan perhatian kriteria yang lebih waras serta wajar selain hanya mengambil kredit seseorang yang telah selama 25 tahun bergiat dalam industri kreatif dengan produk seperti filem Tipah Tertipu, Remp-it, Adnan Sempit, Hantu Bonceng, Apa Celop Toqq, Gangster Celop, Hantu Nan Sempit, Mat Moto, Mat Moto Otai, Minah Moto dan Hantu Wangan.

Adalah sesuatu yang amat memalukan bagi seorang menteri yang berkhidmat di Kementerian Komunikasi dan Multimedia menganggap 2 Anugerah Bintang Popular, 1 Anugerah Skrin dan 1 Anugerah Festival Filem Malaysia yang pernah dimenangi Ahmad Idham sebagai ukuran kemampuan beliau untuk memajukan industri perfileman Malaysia.

KOMFIT menegaskan dengan penuh keras bahawa kami menolak perlantikan yang telah diumumkan dengan rasa penuh terhina dan dukacita.

Komuniti Filem Titiwangsa
(KOMFIT)

Ahmad Idham Kini Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif FINAS

Berikut ialah kenyataan dari Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Dan Multimedia:

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ingin mengumumkan pelantikan YBrs. Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua (2) tahun berkuatkuasa 11 Mac 2019.

Encik Ahmad Idham Nadzri pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan mempunyai kepakaran serta pengalaman di dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun selain pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Pelantikan ini merupakan keputusan Lembaga berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku YBrs. Encik Shakib Ahmad Shakir yang telah menjalankan tugas selama empat bulan yang lalu.



KKMM mengucapkan terima kasih kepada Encik Shakib Ahmad Shakir untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan tersebut. Kementerian berharap Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu ini akan berkhidmat untukmeningkatkan usaha-usaha FINAS bagi membangunkan industri ini. Saya juga berharap agar ahli-ahli lembaga FINAS akan memberikan kerjasama yang penuh kepada Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.”

Adik Siti Nurhaliza Rakam Lagu Tema Filem Seram Berapi arahan Ahmad Idham, Anak Perjanjian Syaitan

Siti Sairah baru saja melancarkan lagu terbaru, Anak Perjanjian Syaitan yang juga merupakan tajuk bagi filem seram arahan Ahmad Idham yang kini dalam peringkat pasca produksi dan dijangka ditayangkan pada pertengahan tahun ini. Perdengarkan lagu ini di bawah:

Filem yang membariskan para pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong dan Jasmin Hamid ini merupakan cetusan idea asal dari Ahmad Idham yang mendapat ilham dari beberapa kes yang melibatkan gadis yang diperkosa bomoh seperti yang dilaporkan oleh media massa.