Filem televisyen ‘FRONTLINER’ angkat tema pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan

‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.

Naskah ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh sutradara berkaliber Razif ‘Ajiboy’ Rashid. Selain itu, ‘Frontliner’ juga turut menampilkan barisan pelakon handalan yang terdiri daripada Azhan Rani, Emma Maembong, Beto Kusyairy, Farah Ahmad, Wan Maimunah, Achey dan Shamsul Danish selaku teraju utama.

Menarik lagi, nama-nama popular seperti Black, Ashraf Muslim, Zul Handy Black, Meerqeen dan ramai lagi turut membuang penampilan istimewa sebagai ‘cameo’ dalam naskah ini.

Naskah ‘Frontliner’ yang diinspirasikan daripada pelbagai kisah benar seperti pengorbanan seorang ibu yang sakit tetapi harus membenarkan anak berkorban demi negara walaupun jauh di sudut hatinya tidak bersetuju, pengorbanan seorang suami yang bertugas sebagai pegawai polis dan harus berhadapan dengan masyarakat setempat setiap hari serta pada masa yang sama harus mendengar keluhan hati isterinya yang tertekan dengan beban kewangan di tempat kerja kesan akibat Covid-19.

Continue reading “Filem televisyen ‘FRONTLINER’ angkat tema pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan”

SUATUKALA 2: KEMBARA LUAR BIASA BERMULA CUTI SEKOLAH INI BERSAMA MAGIS PERSAHABATAN YANG TIADA TANDINGAN!

‘SUATUKALA 2 – Timun Mas & Ijo’ diinspirasikan dari kisah rakyat serumpun. Pelakon wanita sensasi, Fasha Sandha hebat menjiwai watak wanita sihir, Mak Andeh.

Sempena musim cuti persekolahan dan Aidiladha pada bulan Ogos ini, saluran premium, Astro First Eksklusif sekali lagi membawakan sebuah naskhah hebat, istimewa untuk kanak-kanak dan seisi keluarga. Filem televisyen (FTV) ‘Suatukala 2 – Timun Mas & Ijo’ yang merupakan sekuel kepada ‘Suatukala 1 – Malim Kundang, Merah & Puteh dan Badang’, dijangka menemui peminat mulai 1 Ogos ini di Astro First Eksklusif (saluran 480) dan menerusi platform digital, ‘On Demand’.

Mengangkat agenda serumpun, ‘Suatukala 2 – Timun Mas & Ijo’ merupakan kisah rakyat Nusantara yang diinspirasikan dari ceritera rakyat Jawa, Indonesia. Diterbitkan oleh rumah produksi tempatan, Red Communications Sdn Bhd, FTV ini diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Shamyl Othman yang sebelum ini dikenali menerusi sentuhannya dalam filem, ‘Kami Histeria’ dan ‘Rembat’, serta siri popular, ‘Oh My English’ dan supertele, ‘Kasut Bola Pink’.

‘Suatukala 2 – Timun Mas & Ijo’ mengisahkan tentang Timun Mas (lakonan pelakon cilik Indonesia, Thalia Ivanka) yang lahir dari sebiji timun gergasi dan dibesarkan oleh Mbak Sarini (lakonan pelakon wanita Indonesia, Prisia Nasution) yang melatihnya untuk bertempur dan lari dari serangan musuh, terutamanya jauh dari gengaman wanita sihir, Mak Andeh (lakonan Fasha Sandha). Timun Mas dikejar oleh Ijo, raksasa yang menggerunkan. Timun Mas perlu menggunakan keberanian, kemahirannya dan kuasa ajaib untuk bebas dari Ijo, tanpa mengetahui kuasa sebenar yang dimiliki dirinya.

THE HANTUS: Koleksi Kisah Hantu ‘Seram, Viral & Popular’ Dizahirkan Dalam Satu Naskhah Hebat

Pengacara versatil, Nabil Ahmad pertaruh bakat mengarah menerusi Filem TV (FTV) sulung bergenre komedi-seram

Dari hari ke hari, perjalanan seni figura ini terus diwarnai dengan pelbagai peranan menarik. Terbaharu, pengacara dan pelakon serba boleh, Nabil Ahmad mengorak selangkah lagi apabila buat julung kalinya menghasilkan sebuah Filem Televisyen (FTV) berjudul ‘The Hantus’ khas untuk siaran Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 15 Jun 2018.

Menggalas beberapa tanggungjawab utama di belakang tabir sebagai Penulis Skrip dan Penerbit, Nabil turut bertindak sebagai Pengarah Bersama di samping Pengarah; Helmi Yusof.

FTV yang bergenre komedi-seram ini diinspirasikan dari kisah-kisah hantu seram, popular dan viral termasuklah cerita ‘Volkswagen Kuning’, ‘Hantu Kak Limah’ dan ‘Kisah Seram & Misteri Taman Mimaland’. Berlatarkan skrip dan plot penceritaan yang kuat, ‘The Hantus’ diperhebatkan lagi dengan penampilan barisan selebriti popular seperti Faizal Hussein, Alif Satar, Hannah Delisha dan Khatijah Tan yang memegang watak utama untuk naskhah ini.

 

INFO PENTING BERKENAAN ‘THE HANTUS’

‘The Hantus’ memaparkan sisi berbeza ‘sekumpulan hantu’ yang bakal membuat anda terhibur dan tidak kering gusi. Jika sebelum ini, kebanyakan filem-filem bergenre seram yang dihasilkan sinonim dengan babak-babak dan plot penceritaan yang menakutkan serta mengerikan. Namun begitu, Nabil tampil segar dengan pendekatan yang berbeza dan tidak klise apabila menggabungkan elemen komedi dan seram dalam FTV pertama terbitan syarikat KMN Production Sdn. Bhd.Walaupun mempertaruhkan genre komedi-seram, Nabil turut menerapkan faktor unik apabila mengangkat kisah cinta sebagai latar utama ‘The Hantus’.  
‘The Hantus’ yang berdurasi 90 minit ini dihasilkan dalam lima (5) bab yang berhubung kait di antara satu sama lain. Dimulakan dengan Bab Pertama yang menceritakan kisah seorang individu yang dilahirkan pekak dan bisu, ‘Din Pekak’. Beliau yang bekerja sebagai seorang pemandu bas ekspres telah terlibat dalam kemalangan ngeri ketika membawa penumpang dari Genting Highlands, melalui lebuh raya Karak. Kemalangan tersebut telah menyebabkan semua penumpang termasuk pemandu terkorban di tempat kejadian kecuali Fami (lakonan Alif Satar). Fami, ‘terjaga’ dalam keadaan berlumuran darah dan mendaki bukit menuju ke jalan besar untuk meminta bantuan.

Bab Kedua pula menampilkan kisah ‘Abang Volkswagen Kuning’, yang diinspirasikan dari sebuah kisah misteri yang dikatakan sering menganggu pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya Karak. Fami yang terlibat dalam kemalangan sebentar tadi telah melambai tangan dan menjerit meminta bantuan kereta-kereta yang memandu melepasi lebuh raya tersebut, namun tiada satu pun berhenti untuk membantu. Sehinggalah sebuah Volkswagen Kuning berhenti di bahu jalan, menghampiri Fami. Pemandu Volkswagen Kuning tersebut (lakonan Faizal Hussein) merupakan jelmaan atau hantu, namun Fami tidak menyedarinya. Sama seperti beliau tidak menyedari yang beliau kini berada di ‘persimpangan’ di antara dua kehidupan; dunia dan alam barzakh.Abang Volkswagen kemudiannya membawa Fami ke satu tempat dan memperkenalkan beliau dengan ‘rakan-rakannya’, yang mana salah seorang darinya adalah ‘Kak Pon’ atau Pontianak (lakonan Khatijah Tan), yang diinspirasikan dari cerita ‘Hantu Kak Limah’. Bab Ketiga menceritakan momen gembira Fami bersama ‘rakan-rakan barunya’ ini di sebuah taman yang digambarkan seakan-akan taman tema pertama di Malaysia, ‘Taman Mimaland’ yang dikatakan berhantu kerana pelbagai perkara misteri berlaku di situ sejak ianya ditutup pada tahun 1994.

Di situ, Fami berkenalan dengan ‘Dhiya’ (lakonan Hannah Delisha), Babak Keempat ‘The Hantus’. Dhiya merupakan seorang gadis cantik yang terlibat dalam kemalangan tragik dan mengalami kematian otak. Fami mula menyukai Dhiya dan mereka kemudiannya jatuh cinta. Secara kebetulan, Fami dan Dhiya kini perlu sentiasa bersama kerana Dhiya dilihat akan jatuh pengsan setiap kali Fami berada jauh darinya. Fami juga kerap diserang sakit di bahagian hatinya, tanpa sebarang sebab. Setelah mengenali Dhiya dengan lebih rapat lagi, Fami kini mendapat tahu bahawa Dhiya merupakan penyumbang organ hati untuk beliau. Hati Fami telah mengalami kerosakan sepenuhnya oleh kerana kemalangan nahas yang dialaminya.

Babak Kelima pula menyorot kembali kisah ‘Fami’ sendiri dan bagaimana beliau berada di dalam bas ekspres yang dipandu Din Pekak sehingga terlibat dalam kemalangan dan jatuh ke dalam gaung, sehingga bermulalah ‘perjalanan misteri’ beliau ke alam ghaib.

Keseluruhan penggambaran ‘The Hantus’ telah diadakan di lokasi-lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Sesi penggambaran telah berlangsung selama 14 hari.

Bagi mewujudkan suasana tahun 70-an dan 80-an yang cukup terkenal dengan tapak pesta ria bergerak atau ‘funfair’, sesi penggambaran turut diadakan di sebuah lokasi ‘funfair’ di Rawang, Selangor selama 3 hari, yang mana telah membabitkan dua buah bas dan sebuah kereta.

Untuk menampilkan kelainan dan memastikan hasil akhir dizahirkan dengan penuh berkualiti, ‘The Hantus’ turut menggunakan khidmat lebih dari 120 orang pelakon tambahan bagi membantu menghidupkan babak-babak yang berkaitan.

Menyedari akan kesesuaian lagu-lagu yang dipersembahkan oleh sekumpulan pemuzik muda yang semakin menempa nama, ‘Kugiran Masdo’ dengan plot penceritaan ‘The Hantus’ yang berlatarbelakangkan tahun 70-an, lagu ‘Pesta Muda Mudi’ nyanyian kumpulan ini telah dijadikan lagu latar FTV ini.

BUTIRAN SIARAN
‘The Hantus’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 15 Jun 2018 (Jumaat), bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang akan datang ini. Dengan hanya RM 15.00, penonton boleh menonton ‘The Hantus’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘The Hantus’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.

 

GALERI FOTO SIDANG MEDIA THE HANTUS

FOTO DI SEBALIK TABIR THE HANTUS

7 perkara yang anda perlu tahu tentang MANDATORI, mini siri TV terbaru Astro First Eksklusif adaptasi novel Ramlee Awang Murshid

Karya Adaptasi Novel ‘Crime Thriller’ Popular Bakal Cetus Fenomena Baru Dalam Industri Seni Tanah Air

1. Astro dengan kerjasama Ideate Media (penerbit bersama ‘Tombiruo’) kini mengadaptasikan salah satu novel terkemuka milik penulis prolifik, Ramlee Awang Murshid berjudul ‘Mandatori’ ke bentuk visual untuk tontonan masyarakat umum.

2. ‘Mandatori’, mini siri bergenre ‘crime thriller’ ini hadir dalam enam episod (berdurasi satu jam setiap satu) diterajui nama-nama besar seperti Aeril Zafrel, Siti Saleha, Alvin Wong, Iedil Putra, Dato’ A. Tamimi Siregar, Vanidah Imran, Susan Lankaster, Jo Kukathas, Meor Hashim Manap, Amerul Affendi, Chew Kin Wah dan ramai lagi.

3. Novel ‘Mandatori’ merupakan salah satu dari 35 karya tulisan milik Ramlee yang masih lagi mendapat tempat di hati ramai dan ia terbukti apabila kebanyakan hasil penulisan beliau diulang cetak untuk menepati permintaan ramai. Ia pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Alaf 21 Sdn Bhd, anak syarikat Grup Buku Karangkraf.

4. ‘Mandatori’ menjanjikan sebuah pengalaman terhebat untuk penonton oleh kerana jalan penceritaannya yang digarap kemas, disokong kuat dengan babak-babak yang mendebarkan dengan aksi-aksi suspen lagi ganas, dan yang paling utama, setiap adegan berjaya diterjemahkan dengan begitu baik sekali oleh kesemua pengemudi watak.

5. ‘Mandatori’ diarahkan oleh sutradara hebat, Razaisyam Rashid. Beliau yang sebelum ini terkenal dengan filem ‘CEO’ pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2016.

6. Lokasi utama penggambaran ‘Mandatori’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta mengambil masa 35 hari untuk diselesaikan (sesi pengambaran bermula pada bulan Ogos 2017).

7. Sila rujuk di sini untuk klip video ‘Mandatori’ yang telah dimuat naik di Instagram Gempak – https://instagram.com/p/BcW4QL4Fvae/

SINOPSIS ‘MANDATORI’

‘Mandatori’ mengisahkan tentang seorang ‘profiler’ jenayah, Inspektor Norman (lakonan Aeril Zafrel) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang dilihat berkait rapat di antara satu sama lain. Ia membuka kembali kes-kes jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu dan lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan Norman akan membawa beliau kepada sebuah lagi kes pembunuhan baru. Norman semakin keliru kerana seorang demi seorang yang beliau kenal mati dibunuh dengan kejam dan pembunuh itu akan meninggalkan petunjuk yang sama iaitu patung mainan ‘Inspektor Carlos’ dan kertas tulisan ‘Case Closed’ yang mana ada ketikanya dijumpai dalam bahagian badan si mati.

Dalam kesibukan Norman menjalankan penyiasatan dengan rakan setugas beliau, Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan (lakonan Alvin Wong), beliau berkenalan dengan Juliana Johari (lakonan Siti Saleha) yang merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan berjaya dan pemilik Johari Corp, Tuan Johari (lakonan Dato’ A. Tamimi Siregar) dan keluarga ini merupakan suspek utama kepada beberapa kes jenayah yang berlaku. Juliana yang pada mulanya tidak begitu menyukai kehadiran Norman mula berubah apabila risau akan tindak-tanduk adiknya, Johan Johari (lakonan Iedil Putra) yang dilihat semakin mencurigakan terutamanya apabila melibatkan kehilangan wang syarikat yang sangat ketara.

Juliana mula menyiasat dan beliau memerlukan bantuan Norman untuk menyelesaikan masalahnya. Keakraban yang tercetus ini membuatkan mereka jatuh cinta. Namun pelbagai dugaan dan ancaman yang hadir dari setiap penjuru menyukarkan lagi keadaan. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah Juliana akan menjadi mangsa yang seterusnya? Dan, siapakah yang sebenarnya dalang di sebalik kes-kes pembunuhan bersiri yang berlaku? Jangan lupa, saksikan ‘Mandatori’ mulai 14 Disember ini.

MANDATORI akan menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ mulai 14 Disember ini.