Ulasan konsert DREAM THEATER : Images, Words & Beyond 25th Anniversary Tour live in Kuala Lumpur

Semasa saya bertugas di majalah muzik pertama di Malaysia dulu, nama Dream Theater tak asing dalam tugasan kami. Ini nama yang sentiasa diikuti dari album ke album yang dirujuk setiap ahlinya kerana skil permainan instrumen mereka. Biarpun saya tidak menulis di bahagian teknikal (kami ada kolum gitar, bass dan dram) nama-nama seperti John Petrucci, John Myung, dan Mike Portnoy ini kami hafal bukan setakat nama tapi dengan muka sekali (supaya kami tak tersilap letak gambar ketika menyusun majalah nanti). Dream Theater pernah jadi muka depan majalah, itu satu pencapaian bagi kami sedang majalah lain letak muka yang lebih mainstream. Bila Portnoy keluar dari DT, itu berita yang amat besar di tempat kerja kami. Ujibakat pemain dram gantian yang akhirnya memihak pada Mike Mangini, itu pun kami hadap macam ujibakat pemain bass Metallica (ini nama yang lebih dikenali berbanding DT pada pendengar kasual tetapi tidak pada kami).

image

Tapi untuk menyaksikan mereka di tanahair sendiri, macam nama band itu sendiri bagai meletakkan kami di daerah mimpi. Usai konsert Megadeth di Kuala Lumpur yang dibawa oleh IME Asia pertengahan tahun ini juga, seorang rakan berkata dia tak hairan sangat dengan Megadeth (sebab Metallica dah pernah datang) tapi ia akan jadi cool kalau konsert yang ditonton itu ialah Dream Theater.

image

Masin mulut kawan saya. DT benar-benar akan datang ke Kuala Lumpur, juga ihsan IME Asia, nama promoter ini jarang disebut mat metal tanahair (dan mereka juga baru saja bawa Mr. Big ke sini). Sejak bila IME jadi cool ni?

Atau lebih baik daripada itu, kita dah mula dapat tonton konsert rock dan metal. Nama besar. Bukan band hipster dengan nama yang ‘obscure’ di venue yang kecil.

image

But here’s the thing. DT boleh muat Stadium Negara macam Megadeth tak? Kemudian saya dengar DT bakal bermain di KL Convention Center. Demi Tuhan, saya dah hafal tempat itu. Itu tempat yang saya selalu kunjungi kalau ada tugasan media bila menteri nak bersidang. Ya, konsert metal berkerusi. Episod Russian Circles di KLPAC dan Deep Purple di Genting berulang lagi (saya masih hafal muka mamat yang kental berdiri dan headbanging ketika audien yang lain keras duduk di kerusi.) Semacam tak beri justifikasi pada DT.

image

Tapi dalam hati saya bersyukur juga kerana siri konsert jelajah Dream Theater Images, Words and Beyond sempena 25 tahun kelahiran album Images and Words di mana mereka memainkan seluruh album tersebut secara live bakal berlabuh di sini pada 2 Oktober. Lebih baik daripada tidak datang langsung dan reputasi Malaysia sebab destinasi konsert rock dan metal akan lebih baik selepas sering tercalar di mata dunia.

image

Hari konsert, tempat yang selalu penuh dengan aktiviti korporat itu bertukar wajah. Peminat-peminat DT bert-shirt hitam dah mula memenuhi ruang legar Plenary Hall seawal jam 4 petang dan ini memang adegan yang….rare! Merchandise rasmi laku macam goreng pisang panas (kalau peniaga t-shirt bootleg boleh buka meja selamba di sini, memang laku keraslah sebab peminat tak punya banyak pilihan). Menghampiri jam 8 malam, wajah-wajah yang saya familiar mula kelihatan. Mereka ialah pemuzik handalan negara yang menghargai muzikaliti DT. Ia muzik yang serius. Bukan lagu parti.

image

Peminat-peminat DT pula ialah mat metal yang lain sedikit berbanding mat metal yang kita biasa jumpa. Mereka fokus dan punya telinga yang peka dengan tempo yang sering berubah dan lagu-lagu yang kompleks susunan malah gila panjang. Mereka juga ‘behave’. Sebab bila konsert bermula saja tepat jam 8:30 malam, dimulai dengan heavy number The Dark Eternal Night (dari album Systematic Chaos, yang pertama di bawah Roadrunner Records menunjukkan sisi DT yang amat berat) dengan mereka berdiri untuk ikut headbanging dan segala ritual mat metal, yakni bukan duduk keras tanpa reaksi, ianya berubah secara drastik ketika lagu kedua, The Bigger Picture dimainkan.

image

Mat metal di Malaysia ni semangat asobiyahnya tak kuat jika mengenangkan yang kami sebenarnya tiada autoriti untuk berdiri sejak lagu pertama di mainkan lagi, akan disuruh duduk oleh sekuriti yang bertugas. Sukarnya nak dapat konsert metal macam DT ni buat kami jadi begitu barangkali.

image

DT bagaimanapun memberi persembahan yang mantap pada setiap lagu dan penuh magis seperti Hell’s Kitchen, The Gift of Music, Our New World (lagu ni memang tangkap radio sampai ada peminat yang kata DT dah menulis lagu rock Disney), As I Am (siap dengan mashup Enter Sandman yang jadi mainan saja oleh DT menunjukkan betapa berskilnya mereka dalam mengendalikan instrumen) malah tribute John Myung pada Jaco Pastorius melalui selingan lagu Portrait of Tracy pun dah buat airmata saya nak menitis. Pembeli tiket VIP di bahagian kanan pasti puas dan tak tidur lena melihat jari jemari John Petrucci laju menyentuh setiap not di fret gitarnya malam itu. Jordan Rudess bagaikan ahli sihir dengan permainan keyboardnya yang penuh kesaktian. Mike Mangini walau dikata main macam robot sekalipun bagi saya kalau bukan kerana permainan dramnya maka tak berjalanlah muzik DT sampai sekarang malah beberapa lagu yang dimainkan malam ini ialah dari kredit permainannya di dalam album sejak A Dramatic Turn of Events. Kripton DT sebenarnya ialah pada pembawaan vokal James LaBrie dan ini peminat-peminat DT pun dah maklum tapi dia masih mampu memberi kawalan vokal yang baik terutama pada slow numbers seperti Wait for Sleep, The Bigger Picture, Surrounded dan Breaking All Illusions sedang dia amat berhempas pulas pada lagu-lagu yang lebih heavy (yang selalunya diselamatkan oleh permainan instrumen yang kompleks oleh ahli-ahli DT yang lain).

image

Momen DT saya hadir ketika memasuki Act 2 selesai intermission bila siaran radio tahun 1992 dimainkan dan segala hits rock era itu berkumandang sebelum disusuli dengan pengumuman album Images & Words yang sedang panas dan anggota-anggota DT mengambil pentas membuka dengan lagu Pull Me Under bermakna bermulanya sesi album Images & Words. Untuk Pull Me Under saya perlu berdiri hampir dengan kiri pentas. Saya tak mahu duduk saja kerana trek ini amat elektrik dan seharusnya menggerakkan audiens untuk turut sing-a-long bersama tapi ia tak berlaku, sayangnya.

image

Namun saya kira audiens dah cukup puas bila album favourite ini dimainkan live untuk pengalaman padu Take the Time, Another Day dan terutama sekali Metropolis Pt. 1 yang juga lagu paling popular DT yang menerbitkan albumnya sendiri, Metropolis Pt. 2: Scenes from a Memory. Hanya bila James Labrie meminta audiens berdiri ketika lagu Learning To Live barulah mereka respon macam konsert metal tapi ianya jadi lagu terakhir untuk sesi Images & Words sebelum DT berundur ke bekakang pentas. Mereka kembali semula untuk encore A Change of Seasons di mana mereka memberikan yang terbaik sebagai kenangan sulung buat para peminat mereka (lebih 2,500 peminat yang hadir) di Malaysia yang kekal berdiri hinggalah lagu terakhir A Change of Seasons: VII The Crimson Sunset. Menamatkan segala penantian peminat yang amat menunggu kelibat DT di sini. 3 jam sebenarnya ialah satu waktu yang lama untuk sebuah konsert yang standard tetapi dengan DT, masa jadi cepat berlalu.

image

Seharusnya kedatangan DT perlu jadi monumen betapa kita boleh menyaksikan konsert hebat sebegini di Malaysia. Kredit besar pada IME Asia yang berani merealisasikan konsert DT dan diharap lebih banyak nama besar (Iron Maiden, anyone?) dapat dibawa.

DREAM THEATER BAKAL MENGEGARKAN KUALA LUMPUR

Kumpulan progresif rock / metal terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Dream Theater bakal mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia pada 2 Oktober ini. Konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada jam 8.30 malam itu adalah sebahagian daripada Image, Words & Beyond 25th Anniversary Tour yang bermula di Rom, Itali pada 30 Januari lalu.
Ia juga sempena ulang tahun ke-25 album Images & Words yang diterbitkan pada 1992. Image & Words yang juga album kedua Dream Theater ini adalah album mereka yang paling laris dan mendapat pengiktirafan emas daripada Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA).

photo courtesy of Jimmy Fontaine

Konsert anjuran IME Asia ini bakal memberikan pengalaman tidak setanding daripada album Image & Words dengan lagu-lagu hit mereka seperti Pull Me Under, Another Day, Metropolis Part 1 dan Under A Glass.
Pasti ramai ternanti-nantikan persembahan istimewa daripada Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) yang cukup terkenal dengan ketelitian mereka dalam penghasilan muzik. Malah, setiap anggota Dream Theater sudah diiktiraf sebagai antara pemuzik terbaik dunia.
Hingga hari ini, album-album Dream Theater sudah terjual melebihi 10 juta unit di seluruh dunia selain menerima lima pengiktirafan emas dan platinum daripada RIAA.
Pada 9 April 2013, Images and Words memenangi anugerah Metal Madness 2013 dan menewaskan kumpulan dan artis rock terkemuka lain seperti Ronnie James Dio, Megadeth dan AC/DC.

photo courtesy of Jimmy Fontaine

Tahun ini, album terbabit menduduki tempat ke-95 dalam senarai 100 Album Metal Terbaik Sepanjang Masa oleh majalah Rolling Stone.
Daripada penghasilan klasik ke album terbaru The Astonishing tahun lalu, Dream Theater mengekalkan identiti mereka dengan lagu-lagu yang penuh dengan lirik bermakna dan mendalam yang mampu melampaui batas imaginasi peminat mereka.

Harga tiket untuk menyaksikan konsert ini ialah RM488 (VIP), RM398 (Cat 1), RM308 (Cat 2), RM238 (Cat 3) dan RM188 (Cat 4). Semua harga tiket adalah termasuk 6 peratus GST tetapi tidak termasuk yuran pemprosesan RM4.

Jualan tiket rasmi menerusi TicketCharge secara atas talian di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian hotline +603-92228811.



Anda juga boleh mendapatkan tiket di pejabat TicketCharge atau dari outlet tertentu Speedy Video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts dan juga kaunter maklumat di pusat beli belah The Mines atau 1 Shamelin. Bagi mereka di luar Lembah Klang boleh kunjungi Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Pulau Pinang).



Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila layari @IMEAsia di Facebook, @IME_Asia di Instagram, @IMEProduction di Twitter, atau @IMEProductions di WeChat.

Mengenai IME Malaysia
IME Malaysia ditubuhkan pada 2012 dan sudah menghasilkan konsert skala besar pertama dengan kerjasama Live Nation Korea bagi kumpulan INFINITE sempena jelajah dunia One Great Step pada 2013. Selepas kejayaan hasil konsert pertama, IME Malaysia seterusnya menjayakan pelbagai acara K-pop terbesar di negara.
Dengan ikatan kukuh bersama Live Nation Korea serta syarikat pengurusan bakat YG Entertainment, IME menjadi calon utama untuk mempromosi pertunjukan di Malaysia seperti BIGBANG, 2NE1, CNBLUE dan lain-lain.
Pada 2010, IME menjayakan konsert artis barat mereka yang pertama iaitu Mariah Carey dan diikuti oleh Michael Buble.
IME dengan aktifnya memperluaskan rangkaiannya di Asia untuk menghasilkan lebih banyak konsert.